Salam,
Bermulanya persekolahan pada hari ahad dan pada hari ini. Maka, pihak ibu bapa sangat sibuk menguruskan persekolahan anak, dari segi pendaftaran, pakaian, pengangkutan anak-anak ke sekolah, hinggalah pelajar yang melanjutkan pelajaran di IPT. Jadi, saya mengucapkan selamat menjalani persekolahan kepada mereka-mereka yang belajar di sekolah rendah dan menengah serta pelajar-pelajar IPT.
Ingatlah, bahawa pelajaran dan ilmu pengetahuan amat penting bagi membentuk insan yang bekerjaya bagi membentuk bangsa yang berjaya. Zaman dahulu dan sekarang sama sahaja. Apa yang saya maksudkan ialah ilmu. Yang jadi persamaan ilmu pada zaman dahulu dan sekarang ialah ilmu yang dimiliki oleh individu merupakan bekalan hidup untuk survival kita menghadapi kehidupan. Dan bezanya pula ialah teknologi memiliki ilmu.
Pada zaman dahulu atau nenek moyang kita, mereka mempelajari ilmu dari guru-guru pondok, dan juga ilmu yang diperturunkan oleh keluarga mereka. Ilmu ini (diketika itu) tidak ramai yang dapat mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu seperti ilmu agama, ilmu hisab, ilmu alam, ilmu silat, dan lain-lain lagi. Ini kerana mereka perlukan kudrat yang kuat serta kesabaran yang tinggi demi mempelajari sesuatu ilmu, dek kerana pakar dalam ilmu-ilmu tertentu tidak ramai bilangannya dan tiada kemudahan seperti mana yang ada sekarang ini. Di zaman nenek moyang kita bertugus-lumus dan berkorban demi mendapatkan ilmu untuk anak-anak mereka demi masa depan yang cerah.
Di zaman sekarang, serba-serbi canggih. Untuk mendalami ilmu, kita perlu klik sahaja. Internet mengandungi pelbagai jenis ilmu dan tidak terhitung bilangannya. Ilmu sains dan teknologi umpamanya, sentiasa berubah dan perubahannya begitu cepat. Di zaman ini, penduduk dunia berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu dan ingin menjadi yang terbaik dikalangan yang terbaik.Akan tetapi, di zaman ini lah kita perlukan etika ilmu yang tinggi, kerana ilmu ini berkembang dengan cepat dan pantas, akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.
Tuhan telah mengurniakan ilmu kepada kita untuk kita mentadbir alam ini yang juga turut dikurniakan oleh NYA kepada kita. Ilmu yang Tuhan berikan kepada kita juga adalah untuk mengenali NYA dengan lebih dekat. Oleh itu, kita perlu menjadi seperti resmi padi, iaitu makin tunduk makin berisi. Itu lah sifat orang Melayu sebenarnya. Mereka tunduk layu kepada Yang Maha Pencipta, kerana tiada kuasa yang lain selain DIA. Jika kita imbas kembali di zaman kegemilangan orang Melayu di Nusantara, telah terbinanya empire yang hebat, seperti Srivijaya dan juga Melaka. Telah terbukti, bahawa orang Melayu mampu membina empire yang hebat di muka dunia. Akan tetapi, empire Melayu ini jatuh dek kerana akidah yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu, telah longgar dan rapuh.
Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia mampu berbuat demikian. Kita bukan penduduk kecil di dunia ini. Kita mampu membina kembali empire yang telah lama hilang. Kita sama-sama bersatu, bersatu memiliki ilmu yang dikurniakan oleh Tuhan untuk kita mentadbir alam ini dalam keadaan aman dan sejahtera dan sama-sama kita menikmati dan mengekalkan nikmat ini selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment